NOVEMBER 2025

Penganugerahan Pingat Kerajaan Jepun Adalah Pengiktirafan Buat Seluruh Rakyat Sarawak - Premier


KOTA SAMARAHAN, 4 November 2025 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyifatkan penganugerahan pingat The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun kepada beliau merupakan satu pengiktirafan besar buat negeri Sarawak dan pimpinan Sarawak yang sealiran dengan kehendak dunia pada hari ini. 

Menurut beliau, melalui penganugerahan ini menunjukkan bahawa dunia telah mengiktiraf dasar-dasar yang dibawa oleh Sarawak khususnya dalam sektor tenaga. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Jepun, khasnya Maharaja Jepun yang menganugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada saya.

“Ini menunjukkan bahawa dunia telah mengiktiraf dasar-dasar yang dibawa oleh Sarawak khasnya dalam sektor tenaga dimana kita telah menekankan sektor hidrogen dan juga tenaga boleh diperbaharui dimana Jepun adalah rakan kita dalam kita meneroka teknologi-teknologi baharu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita selepas menyempurnakan Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kali Ke-29 di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, UNIMAS, Kota Samarahan pada Selasa.

Selain itu, Premier memberitahu bahawa melalui dasar Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan tenaga hijau dan rendah karbon turut diiktiraf oleh dunia. 

“Kita mempunyai dasar carbon blueprint (Sarawak Sustainability Blueprint 2030) yang telah diiktiraf dan ini saya rasa pengiktirafan dunia kerana Jepun adalah sebuah negara perindustrian dan negara membangun di Asia. 

“Saya rasa bahawa dengan ada pengiktirafan ini, kita boleh memain peranan kita lebih aktif lagi dengan penerokaan teknologi-teknologi baharu dalam ekonomi baharu,” ujar beliau. 

Dalam temu bual tersebut, Datuk Patinggi turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas media yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau atas penganugerahan tersebut dan juga atas segala sokongan diberikan oleh petugas media yang melaporkan dengan baik segala dasar Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Premier Sarawak.